Saturday, October 19, 2013

10 Pesanan Imam Al Banna

10 Pesanan Imam Al Banna :

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi
orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi
kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenalkenalan dan berkasih-sayang.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Wednesday, October 16, 2013

Keropok Air dan Dakwah - Ustaz Ebit Liew

Seorang sahabat saya masa belajar di London. Masa dia berdakwah waktu petang dia terjumpa dengan sekumpulan pendakwah agama lain. Mereka jeling jer. Sahabat saya senyum jer dan bersalaman dengan mereka.

Beberapa kali berselisih dengan mereka. Satu malam beberapa orang datang ke rumahnya di waktu malam sejuk dan mula berdakwah padanya. Cerita tentang agama mereka. Kawan saya goreng keropok yang dia bawa dari terengganu dan buat air beri pada mereka. Mereka makan dan sahabat saya goreng lagi dan tambah makanan. Kawan saya dengar sungguh-sungguh dan wajah manis.

Habis mereka cakap kawan saya kata terima kasih kerana perasaan ambil berat dan datang rumah saya diwaktu malam. Setelah berjam-jam mereka cerita dan tamat. Bila mereka nak balik kawan saya hanya cakap 10 minit pasal sains dan Al-Quran. Banyak teori sains yang baru ditemui dalam era ini beberapa ratus tahun ini telah ditemui dalam Al-Quran 1400 tahun yang lampau. Kajadian manusia. Alam. Matahari, sistem alam dll. Jika Al-Quran ditulis oleh manusia. Sesungguhnya itulah perkataan Tuhan yang esa yang menciptakan semuanya. Itulah kebenarannya.

Setelah itu kawan saya bekalkan mereka sedikit makanan dan keropok dari kampungnya. Dia bagi semua sekali yang dari kampungnya. Dia doa malam itu dan setiap kali berselisih dengan mereka. Mereka baik tapi atas jalan yang salah.Ya Allah berilah hidayah kepada mereka.

Esoknya seorang dari pendakwah agama lain yang datang semalam datang lagi ditengah malam dan dia peluk Islam dengan syahadah dengan kawan saya.. 

Katanya, saya sudah lihat kebaikan Islam ini dalam Al-Quran ini.Itulah perkataan Allah. Saya cuma tunggu adakah ia mampu dilakukan oleh orang Islam hari ini. Saya jumpa dan lihat tuan dibandar ini dan mulakan dakwah walaupun masih belajar. Tuan berani tapi penuh kasih sayang. Kawan-kawan saya kata jika semua orang Islam berakhlak macam tuan. Senyuman, keropok, air yang tuan buat sungguh ..Pasti semua orang akan datang pada Islam.

ya Allah aku pohon dengan kasih sayangMu. Ampunkan dosa kami orang Islam kerana meninggalkan dakwah dan akhlak Nabi saw. Ya Allah berilah hidayat kepada semua orang Islam untuk bangkit atas kerja Nabi saw. 

Satu hari Nabi saw selalu disimbah dan dibaling dengan kotoran. Satu hari wanita yang menzalimi Nabi saw itu sakit. Nabi saw ziarah dan bawa makanan untuk wanita tua itu. Wanita tua itu menangis dan minta maaf kerana telah membuat keburukan yang besar pada Nabi saw. Wanita itu tanya apa yang kamu mahu wahai Muhammad. Sabda Nabi saw, lebih kurang maksudnya, aku ingin kamu berjaya dunia dan akhirat dengan mengaku tiada tuhan melainkan Allah. Dan Muhammad itu Hamba dan Rasulnya. Wanita itu terus beriman...

Itulah seorang Rasul saw yang kami rindui.Semoga Allah jadikan saya dan kita semua Al-Quran yang bergerak.....-..

-ebit lew yang jahil dan berdosa.


sumber fb ustaz ebit liew

Wednesday, October 9, 2013

Ceritera - Musibah dan Hidayah

Seorang sahabat saya menceritakan setelah dia pulih dari lumpuh separuh badan.

Awal hidup dia sangat baik dengan dakwah dan amalan agama.. Satu hari dia lalai dan sibuk sangat sampai habis amalan agama. Tiada lagi dakwah dan pengorbanan untuk agama. Perasaan terlalu sayang pada isteri dan anak maka dia ingin memenuhkan keperluan keluarga sehingga terlupa amalan agama.

Masa dia jatuh sakit, Allah beri rezeki yang tidak disangka pada anaknya. Masa sakit, dia pernah kata jika sihat dia akan terus berjuang untuk dakwah dan makmurkan masjid.

Allah takdirkan penyakit beransur pulih dalam masa 3 tahun. Kini telah sihat sepenuhnya. Dia sangat dekat dengan Allah dan begitu hebat amalannya.

Pukul 3.30 pagi dengan tahajud dan amalan lain sampai bila azan Subuh mesti sudah berada di masjid. Selepas Subuh baca Al-Quran sampai Dhuha. 4 jam lebih kurang. Selepas Asar sampai isya di masjid dengan dakwah dan ziarah. Selepas Isya amalan bacaan QUran dan Hadis bersama keluarga sampai 10 malam.

Sayangnya Allah pada dia. Kadang-kadang dalam hidup ini, Allah beri musibah atau sakit untuk kita kembali pada Allah. Masa sakit, kita selalu ingat mati dan kata Ya Allah. Ya Allah.Jika semuanya seperti kita nak, kita rasa kitalah segalanya. Depan Allah masih rasa diri hebat dan lupa dan sombong. Kerana itu tak menangis dan tak merayu padanya.

Satu masa bila kita susah barulah keluar dari hati melalui mulut kita. Ya Allah tolonglah, tak tahu nak buat macam mana? Masa tu Allah buka jalan buat kita.

Ya Allah tolonglah. Ya Allah bukan itu, bukan ini. Hanya kau Ya Allah. Ya Allah hanya kau. Ya Allah kasihanilah kami pendosa ini. Ya Allah tuhan kami, ampunkan dosa kami semua.


sumber FB Ustaz Ebit Liew

Friday, October 4, 2013

PERBEZAAN AQIDAH AHLI SUNNAH DAN SYIAH


BIL
AHLI SUNNAH
SYIAH
1
Al-Quran adalah terpelihara dan bebas daripada kekurangan mahupun penyelewengan.
Al-Quran yang ada sekarang ada kekurangannya dan terseleweng.
2
Beriktiqad bahawa penafsiran Al-Quran hendaklah berpandukan pada apa yang datang daripada Nabi SAW.
Berpendapat penafsiran Al-Quran hendaklah berpandukan daripada apa yang telah diriwayatkan ahli al-bait dengan riwayat-riwayat yang mencela para sahabat dan mendakwa Imam Ali sebagai tuhan serta imam selepasnya.
3
Al-Quran diturunkan sepenuhnya ke atas Rasulullah SAW, tiada kekurangan padanya dan tiada kitab lain selepasnya.
Beriktiqad bahawa di sana ada mashaf yang diturunkan selepas kewafatan Nabi SAW dan dinamakan mashaf Fatimah.
4
Sunnah Nabi adalah apa saja yang datang daripada Nabi sama ada percakapan, perbuatan mahupun taqrir.
Mengatakan bahawa percakapan Imam 12 seperti firman Allah Taala dan Sabda Rasulullah SAW . Meriwayatkan daripada mereka sama seperti meriwayatkan hadith daripada Nabi kerana mereka juga maksum.
5
Syariat Islam adalah sempurna.
Bahawa Rasulullah SAW menyampaikan sebahagian daripada Syariat sahaja sedangkan sebahagiannya disembunyikan dan ditinggalkan pada Imam Ali.
6
Menerima periwayatan sahabat r.a kerana mereka adil dan thiqah (dipercayai).
Menolak periwayatan sahabat, mereka beriktiqad bahawa para sahabat semuanya menipu seperti Abu Hurairah, Samurah bin Jundub.
7
Menerima semua hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim serta kitab-kitab hadith sahih yang lain.
Tidak berpegang dengan kitab-kitab hadith Ahli Sunnah melainkan yang ada persamaan dengan aqidah pegangan mereka.
8
Berpegang dengan Al-Quran, Sunnah dan Ijmak sebagai prinsip asas kepada Syariat Islam.
Tidak percaya kepada Ijmak sama ada dari sahabat mahupun selain mereka tanpa kewujudan orang yang maksum bersama mereka.
9
Tiada yang maksum melainkan Rasulullah SAW, para anbia dan rasul-rasul terdahulu.
Para Imam-imam adalah maksum dan kemaksuman mereka adalah perkara dasar dalam prinsip Imamah. Imam tidak akan terkena dosa sama ada sengaja atau tidak.
10
Mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada para Nabi dan Rasul adalah satu bukti kebenaran.
Mukjizat hanya untuk para imam, mereka mampu menghidupkan yang mati, menyembuhkan penyakit bisu, kusta serta mereka memiliki semua mukjizat yang dimiliki oleh para Nabi.
11
Tiada yang mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan Allah SWT.
Para imam mengetahui perkara-perkara ghaib, tidak terhijab daripada mereka ilmu-ilmu apa yang di langit, di bumi, di syurga dan neraka
sumber : ustaz nazim

Wednesday, October 2, 2013

Pemimpin

Baru sampai di pascorp paper bentong siri 2 kepimpinan. Sebenarnya pemimpin dulu adalah khadam kepada orang yang dipimpinnya. Maksudnya mereka memberi khidmat supaya setiap orang dibawahnya semakin hampir pada Allah.

Setiap ketua tangan mereka akan diikat sehingga mereka jawab setiap persoalan yang datang pada mereka. Saidina Umar berjalan setiap malam pernah jumpa orang bersalin. Tengah malam dia pulang dan bawa isterinya untuk khidmat orang tu bersalin. Pernah juga beliau pikul makanan sendiri dan masakkan untuk sebuah keluarga walaupun keluarga itu asyik kata, kau lagi layak ganti Umar ra dan umar akan disoal. Ini kerana orang itu tidak tahu itu umar ra. Tidak dikenali rupanya.Tapi kebaikannya tersebar.

Katanya aku tunggu dan bermain dengan anak mereka kerana tadi aku melihat mereka menangis. Lihat kegembiraan orang bawahannya adalah kegembiraannya.

Bila orang nak buat kerjanya, dia kata adakah kamu akan pikul bebanku di akhirat nanti.

Ya Allah bagaimana kita, adakah kegembiraan orang lain menjadi kegembiraan kita-Adakah kita bawa mereka kepada Allah atau hanya kita perah tenaga mereka tanpa dekatkan mereka pada Allah. Kita rosakkan amalan agama pekerja kita-ebit lew

sumber : Ebit Lew

Pesanan hati ke hati

 
Wahai anakku,
Janganlah kamu libatkan mereka yang panas kepala dalam mesyuaratmu, kerana mereka tidak akan menerima pendapat berbeza. Janganlah engkau libatkan mereka yang tinggi egonya, kerana ia akan memandang rendah kepada pandangan orang lain. Jangan engkau perlekehkan pandangan yang rendah dan bodoh, kerana Allah tidak menyamakan taraf akal manusia. Hargailah setiap pandangan, agar pandanganmu dihargai.

Wahai anakku,
Jangan kamu gopoh-gapah dalam membuat sesuatu keputusan yang besar, melainkan engkau dengar pandangan semua. Mohonlah pandangan dari yang lebih tua atau yang alim, kerana sebahagian mereka tidak akan memberi pandangan melainkan diminta. Mutiara yang indah tidak akan dapat diambil, melainkan kena buka kerangnya. Berbahagialah bilamana kamu mampu melihat dari sudut yang berbeza sebelum engkau membuat keputusan....

Wahai anakku,
Jangan engkau kemukakan sesuatu cadangan, melainkan engkau suluh ia dari kacamata Tuhan-mu, engkau padankan dengan ilmumu, dan engkau timbang ia dengan kudrat ahli yang akan melaksanakan cadanganmu.

Wahai anakku,
Janganlah engkau berdukacita bilamana cadanganmu ditolak, sebaliknya bersyukurlah kerana engkau tidak akan menanggung dosa di atas cadangan itu, seandainya ia membuahkan keburukan. Sebaliknya hendaklah engkau beristighfar apabila cadanganmu diterima, kerana belum tentu ia menjadi kebaikan apabila ia dilaksana. Sekiranya ia menjadi kebaikan, janganlah engkau bangga kerana cadangan itu datang darimu, kerana engkau tidak mengetahui samada Allah menerima atau menolak kebaikan itu.

Wahai anakku,
Patuhilah sesuatu keputusan mesyuarat, walau kamu tidak bersetuju sekalipun, kerana hebat mana satu pandangan, tidak akan sama dengan pandangan dan keputusan jamaah. Ingatlah pertolongan Allah beserta jamaah.

Wahai anakku,
Awasilah golongan yang mengadakan mesyuarat di luar mesyuarat rasmi bagi mengumpulkan golongan yang tidak bersetuju di dalam sesuatu keputusan, kerana ini petanda keretakan jamaah dan mengundang kemurkaan Allah.

Wahai anakku,
Bilamana engkau telah menerima sesuatu keputusan, bertawakallah kepada Allah, berazamlah untuk melaksana keputusan dan mohonlah pertolongan Allah. Kerana keputusan yang besar dan berat akan menjadi ringan bilamana Allah membantumu.

Semoga Allah memandu kita dalam urusan agamanya. Senyum
 

Petanda Amalan Diterima

"Sesiapa yang dapat merasa buah amalannya di dunia, maka (itulah) tanda kelak amalnya itu diterima oleh Allah"

TANDA AMALAN DITERIMA

Menurut Syeikh Zarruq,hasil amalan ialah apa-apa yang memberi faedah pada agama dan dunia terhadap pelakunya. Tanda-tanda amalan seseorang diterima Allah dapat dikesan menerusi 3 (tiga) petunjuk :

i) Gembira dan dihilangkan ketakutan dan perasaan dukacita
Allah berjanji menerusi firmanNya
"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tiada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang yang beriman dan sentiasa bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Yang demikian itu kemenangan yang besar" (surah yunus 10 ayat 62-64)
Sheikh al Sabuni dalam mentafsirkan ayat ini berkata " bagi mereka ada berita gembira di dunia dan akhirat iaitu malaikat menggembirakan mereka ketika nazak dengan keredaan dan rahmat Allah manakala di akhirat dengan janji-janji syurga dan kemenangan yang besar"

ii) Dizahirkan rahsia khalifah padanya.
Allah memberikan padanya kurniaan - kurniaan seperti dimudahkan segala urusan. Ini bertepatan dengan janji Allah :
"Dan Allah telah berjanji kepad orang yang beriman dalam kalangan kamu dan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka.
Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu dengan Aku. Dan sesiapa yang kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik" (surah am nur 24 ayat 55)

iii) Mendapat kurniaan kehidupan yang baik
Allah menyediakan naungan keredaan dan sifat qanaah yang menghiasi jiwanya seperti firman Allah:
"Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka pahala yang lebih baik daripada apa-apa yang telah mereka kerjakan." (Surah al Nahl 16 ayat 97)
Al Sabuni mentafsirkan bahawa ayat ini menzahirkan kenikmatan yang diterima oleh seseorang. Beliau berkata"Allah berikan kepadanya kehidpan yang baik di dunia dengan sifat qanaah dan rezeki yang halal juga taufik untuk melaksanakan amal soleh"
Syeikh Al Hassan pula menegaskan"Tiadalah baik kehidupan seseorang kecuali di syurha kerana di sama hidup tanpa mati, kaya tanpa miskin, sihat tanpa sakit dan kebahagiaan tanpa kecelakaan"
Semoga kita sentiasa dipilih bernaung di bawah pandanganNya dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini. Sedang akhirat jualah tujuan abadi.

Sumber : Mutiara Tasawuf matam Syeikh Ibn 'Ataillah menerusi karya sufinya al Hikam

Rashidy Jamil Al Rasyid.
Solusi isu 60.